Sunday, 8 May 2016

AKU TIDAK AKAN BERHENTI DARI MENCARI PUTERI

Adakah ini Puterinya

Aku masuk ke hutan tu. Terpegun aku. Terlalu cantik di situ. Tidak banyak semak, pokok-pokok renek banyak tak berdaya hidup sebab kekurangan bekalan cahaya matahari. Bau hutan tu sungguh segar, nyaman kerana bau bunga-bungaan. Aku teruskan perjalanan.

Selama ini dari luar kita nampak hutan tidak menarik. Ada kalanya hutan kelihatan mengerunkan. Rupanya sangkaan kita salah. Kalau tentang hutan kita boleh bersangka salah, apatah lagi kalau tentang manusia, kita tentu kerap bersalah sangka.

Aku terasa udaranya sejuk sekali. Tambahan pula terdapat sebatang sungai yang mengalirkan air yang begitu jernih. Itu yang menambah menariknya hutan. Aku tahu bukan semua benda yang menarik itu bijak. 

Hutan menarik tapi hutan tidak bijak. Begitu juga manusia. Bukan semua manusia yang tak menarik itu tak bijak. Aku tak kata manusia yang cantik itu sentiasa tidak bijak.


Aku terdengar orang memberi salam. Aku jawab salamnya. Rupa-rupanya ada se orang gadis yang berpakaian menutup aurat berjalan menyusuri lorong yang aku lalui. Dia mengkagumkan aku.

Dia senyum lalu berkata, "Uncle nak ke mana?" Hati aku berkata kalau dia tahu perkataan uncle, bahasa orang putih, dah tentu dia ni manusia.

"Saya tak tau nak ke mana. Nak cari tempat untuk bertenang. Awak tau tak kat mana?" saya tanya. Dia kata dia tak tau tapi kalau masuk jauh ke dalam tentu ada ketenangan di sana. Aku setuju lalu teruskan perjalanan. Kami jalan beriringan.

"Jangan jalan terlalu laju," aku kata. Dia pun perlahankan langkah. "Mari kita berehat dulu," saya kata. Kebetulan di situ ada dua buah batu, dapatlah kami berehat. "Nama kamu apa?" aku bertanya.

"Keluarga panggil saya Puteri," dia kata. Aku tanya kalau bukan keluarga panggilan dia apa pulak.

Dia senyum sambil berkata, "Kediaman saya jauh ke dalam, sana tidak ada jiran. Ibu sahaja yang ada. Pondok kami di tepi se buah gua." Dia senyum lagi.

"Senyuman puteri cantik. Ada apa-apa petua?" aku tanya.

Dia gelengkan kepala, "Kita kena jaga kata-kata kita.  Jangan sesekali berdusta, jangan berkata yang buruk-buruk. Itu yang memberi seri pada senyuman kita."

Aku tanya dia, takkan dia tidak pernah berkata buruk walau pun sekali dalam hidup dia. Dia senyum, "Tidak pernah uncle. Sebab di sini tiada siapa-siapa. Jadi kata-kata buruk tidak pernah keluar dari mulut saya."



Dia berhenti untuk bertanya sesuatu, "Apa nama uncle?"

Aku jawab yang membuat dia terpegun, "Apa pentingnya nama. Cuba puteri lihat itu. Itu pokok tembesu yang gagah berdiri. Di sebelahnya pokok leban. Kalau puteri panggil dia kemuning dia tetap tidak berbungakan kemuning." Dia pandang tepat ke muka aku. Aku berkata, "Mata kamu begitu cantik."

"Saya percaya pujian uncle iklas sebabnya saya tau itu benar. Saya tak izinkan mata saya melihat perbuatan yang kotor. Mata saya hanya melihat benda-benda yang baik, seperti melihat orang bersedekah, menderma. Kalau kita amalkan demikian pasti mata kelihatan cantik. Sentiasa melihat kehijauan daun dapat mengekalkan kesihatan mata." dia berkata.

"Bukankah puteri tinggal di hutan. Bila masa pulak dapat melihat orang melakukan perbuatan yang baik," aku cuba menafikan alasan dia.

Lantas dia menjawab, "Memang benar tapi mata ini belum pernah melihat perbuatan yang keji-keji uncle. Mata Puteri belum tercemar. Puteri tak benarkan."

Kami sambung perjalanan sambil aku bertanya, "Badan puteri memang menarik. Saya tertarik. Tidak gempal. Begitu langsing sekali. Tidak terlalu kurus. Apa yang puteri lakukan sehingga badan puteri setanding dengan model?"

Langkah dia terhenti. "Uncle, kita jangan bakhil. Kita adalah apa yang kita makan. Makan jangan tamak. Allah beri rezeki untuk hidup dan untuk dapat sedikit tenaga. Kita makan untuk itu sahaja. Jangan membazir rezeki. Yang lebih kita zakat. Setiap hari kita berzakat lagi bagus."

Aku teringat kata-kata dia tadi lalu aku bertanya, "Di sini kamu kata tidak ada orang lain. Bila pulak kamu berzakat?"

Kali ini dia ketawa. "Kita berzakat kepada mahluk Allah. Nasi yang tak habis saya taburkan untuk burung. Kesian burung-burung. Tempat tinggalnya banyak yang musnah, punca makanan dibinasakan. Di sini banyak burung. Ada burung terkukur, punai, merbuk, tiung, ayam hutan, murai, macam-macam lagi. Burung nuri, merbah pun ada. Begitu juga dengan buah-buahan, roti, ubi, keledek. Daun ubi saya campakkan ke danau. Di situ ada kura-kura. Mana yang tak habis saya sedekah kat monyet. Saya tak tunggu makanan itu menjadi busuk baru bersedekah. Di sini banyak monyet, banyak tupai. Bukankah monyet juga mahluk Allah?"

Kami menyambung perjalanan yang aku sendiri belum tahu di mana aku akan berhenti. Langkah aku makin laju mungkin kata-kata puteri menyuntik semangat aku. Puteri tertinggal beberapa jauh kebelakang.

"Abang, I'm at the back," aku dengar suara puteri memanggil. Aku bertanya kenapa dia panggil aku abang. 

Lantas dia menjawab, "Itu amalan perkerti yang baik. Kita kelihatan cantik kalau perkerti baik. Ada beberapa perkara yang saya amalkan. Pertama hormat. Ke dua berterima kasih. Ketiga mohon kemaafan dan yang akhir selalu minta restu. Tidak rugi lakukan itu semua."

Panggilan abang pun tanda hormat. Itu juga perkerti yang baik. Pada awal tadi abang begitu lemah. Tadi panggilan uncle sangat tidak sesuai. Sekarang abang sudah tangkas seperti se orang hulubalang belantara. Panggilan abang pun tidak menghalalkan saya disentuhi. Tidak salahkan dengan panggilan itu?"

Aku tersenyum. Dia bertanya mengapa aku tersenyum. Aku jawab, "Saya tersenyum bukan kerana dipanggil abang tapi kerana minda kamu yang celik." Dia kepenatan lantas mengajak aku berehat. Kebetulan di situ juga ada dua buah batu besar.


Aku buka tudungnya dan suruh dia mengeringkan peluhnya. "Kulit kamu cantik, begitu bersih," aku beri tau dia.

"Saya tau tapi saya tidak pernah makan jamu. Kenapa dia jadi bersih saya tak tahu?" dia kata.

Aku terangkan dengan rengkas, "Yang saya lihat kulit kamu. Memang bersih. Kamu tidak tau yang menarik pada diri kamu itu berpunca dari dalaman kamu. Kalau batin kamu bersih segala-gala yang di luar turut bersih."

Kami menyambung perjalanan, sambil aku berkata, "Puteri, hari semakin gelap. Saya perlu pulang. Sebaik-baiknya elok kita tamatkan perkenalan kita di sini."

Dia senyum. Aku tahu erti senyumannya. Dia berkata, "Abang, kamu se orang lelaki. Kenapa takut dengan gelap. Kenapa takut bermalam di hutan? Abang tidak layak jadi hulubalang di hati Puteri."

Kejantanan aku tercabar, terus aku menafikan kata-kata dia, "Puteri, andainya kamu lelaki pasti saya cabar kamu bertarung tapi kamu bukan saingan saya. Di mana perkerti kamu yang tinggi sebelum ini. Kamu berkata belum pernah melihat perkara yang keji dan kamu tak akan melakukan perkara yang keji. Cuba bayangkan hanya kita berdua sahaja bermalam di sini. Bukankah itu perbuatan jijik."

Aku menyambung, "Syaitan berjanji akan sentiasa berusaha merosakkan anak-anak Adam. Rupanya perkerti kamu yang baik sebelum ini hanya disebabkan kamu belum diduga. Belum didedahkan dengan pancaroba. Syaitan tidak akan berhenti merosakkan kita."

Dia tergamam. Lantas berkata, "Saya percaya pada diri saya, begitu juga saya percaya dengan iman abang. Walau sebesar mana pun ancaman dari syatan saya tidak gentar sedikit pun. Saya hanya gerun dengan masyarakat abang. Fitnah adalah mainan kelompok komuniti abang. Elok juga abang beransur pulang untuk mengelakkan nama abang tercemar pada pandangan masyarakat abang. Masyarakat abang selalu menilai melalui sudut sempit. Datanglah lagi bila sudi. Puteri tunggu."

Sebelum aku berpatah pulang aku berkata, "Puteri, jaga diri kamu baik-baik. Jangan ada sifat sombong walau pun kepada monyet. Jangan sombong dengan kecantikan kerana ia akan pudar. Ingatlah, kecantikan perilaku tidak akan pudar jika kita kekal tidak menyombong."

Puteri kelihatan ceria. "Bersabarlah kepada ibubapa  kamu kerana itu sahaja harta berharga yang kamu ada. Kamu tidak sedar ibubapa semakin uzur. Dahulu mereka berjalan tegak memimpin kamu ke telaga, sekarang giliran kamu pula memimpin. Kamu tidak ada pilihan. Pimpinlah sehingga kamu kehilangan mereka."


Dia kelihatan tenang. "Dugaan dunia yang paling kuat yang kita terima ialah semasa hidup mereka telah melampauii usia matang. Mereka lebih banyak berdiam. Bila mereka diam kita kata mereka merajuk. Kita suka tengok dia merajuk. Kita ketawa sesama kita. Sebenarnya mereka bukan merajuk. Mereka diam kerana menahan marah juga menjaga hati kamu. Jangan buatkan mereka marah."

"Menjaga mereka di saat penghujung hayatnya merupakan saat yang paling indah yang akan menjadi satu kenangan yang paling manis. Kamu hanya akan mengerti satu kehilangan apabila kamu melihat tilamnya yang dulunya berlapuk kini sudah dikemas rapi."

Puteri memandang tepat ke arah mataku lalu berkata, "Pulanglah abang. Tempat abang bukan di sini. Tidak ada instrumen yang boleh menyatukan kita, sebab dunia kita berbeza."

"Menyatukan kita, apa maksud kamu?" aku bertanya.

Puteri terus meninggalkan aku. Sebelum hilang dari pandangan, Puteri melambaikan tangan sambil berkata, "Selamat jalan Hulubalang."

Dahi aku berpeluh. Badan semakin lemah lalu aku tersungkur. Aku tidak sedarkan diri juga tidak tahu berapa lama aku terbaring. Tiba-tiba handphone berbunyi. Di mana Puteri?
KLIK: WE WILL MEET IF IT IS MEANT TO BE

(Gambar-gambar tiada kaitan dengan cerita. Semata-mata hiasan)

This site belongs to us and the stories are ours. Everyone has a story to tell and by sharing we find healing. Your stories and wisdom are just as meaningful as mine.


Video Credit: Shaifolhizam

Penulis tidak bertanggong jawab terhadap komen yang menyalahi undang-undang, sentimen agama, kaum dan sensiviti individu.



4 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...